Monday, September 1, 2008

Puasa datang lagi...

Ramadhan datang kembali. Masa begitu pantas berlalu sehinggakan bulan yang penuh dengan kerberkatan dan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam ini menjelma lagi. Aku bersyukur kerana masih diizinkan oleh Nya untuk menyambut Ramadhan pada kali ini. Sememangnya Ramadhan bulan yang mulia dan ketibaannya disambut gembira oleh umat Islam sejati, begitu juga aku. Dalam kesederhanaan dan perasaan rendah diri, aku sememangnya menantikan bulan yang penuh nikmat dan penuh dengan kenangan ini. Kenangan yang tak akan dilupakan sepanjang hidupku

Genap setahun Baba meninggalkan aku dan keluarga. Pemergiannya memang meninggalkan kesan di dalam jiwa. Tarikh 1 Ramadhan 1428 bersamaan 13 September 2007 adalah satu peristiwa sedih dalam diri dan juga keluarga. Kehilangan orang yang paling disayangi dan dihormati membuatkan perasaan aku tidak lekang daripada terus merinduinya. Kadangkala Baba hadir di bayangan mata dan dalam mimpi-mimpi ku, membuatkan rindu aku makin menebal di dada. Tapi apakan daya, merindui insan yang telah pergi tidak sama seperti merinduinya semasa hayatnya ada. Ketika itu dia boleh dipeluk dan dicium tangan dan pipi, tetapi sekarang rindu itu hanya boleh diakhiri dengan iringan doa yang tidak pernah putus untuk kebahagiaannya di sana.


No comments: